SABAK BERNAM - “Dia bukan lari ikut lelaki, tolonglah hentikan tuduhan ini!,” rayu seorang ibu, Mak Su (bukan nama sebenar), 41, selepas anaknya, Samirah (bukan nama sebenar), 16, dilaporkan hilang 1 Ogos lalu.

Kehilangan Samirah menimbulkan andaian pelbagai pihak terutama di media sosial hingga ada yang mendakwa kononnya anaknya itu mengikut teman lelaki, bagaimanapun remaja perempuan itu ditemui di rumah ibu angkatnya di Serendah, Sabtu lalu.

Menurut Mak Su, anak sulung daripada lima beradik itu sebenarnya mengikut seorang rakan perempuannya berusia 20 tahun ke Shah Alam selepas remaja itu datang ke rumah seorang lagi rakannya yang tinggal di kampung berhampiran.

“Saya harap masyarakat, tolonglah faham apa yang berlaku, jangan tuding jari tanpa tahu cerita sebenar, masa depannya masih jauh lagi,” katanya.

Mak Su yang bekerja sebagai pembantu kedai makan berkata, dia sedang merancang menumpangkan Samirah di rumah salah seorang abangnya dan memindahkan persekolahan anaknya itu di luar Sabak Bernam.

“Kalau tanya dia, memang dia dah tak nak belajar lagi. Dia kata, nak ambil kemahiran. Tapi saya tegas, nak suruh dia belajar sampai habis SPM (Sijil Pelajaran Malaysia).

“Mungkin sebab dia malu atas apa yang berlaku, jadi jalan terbaik dia pindah sekolah dan mulakan hidup baru,” katanya.

Sementara itu, Samirah memberitahu, dia kesal dengan apa yang berlaku terhadapnya dan ingin berubah untuk menjadi anak lebih baik.

“Cukuplah apa yang berlaku sampai mak risaukan saya.
“Memang hasrat hati saya nak pindah sekolah, tak nak lagi duduk sini. Saya pun ada maruah, malu dengan kawan-kawan,” katanya.